Wednesday, October 24, 2007

Program Kapal Belia Asia Tenggara – Jepun (SSEAYP) 2007

22 Oktober 2007 / 10 Syawal 1428 H – Saudari Nurul Hussna telah berlepas ke Jepun bersama 29 orang delegasi Malaysia pagi semalam di KLIA untuk mewakili ABIM dan Malaysia ke Program Kapal Belia Asia Tenggara – Jepun (SSEAYP) 2007. Program SSEAYP merupakan program tahunan anjuran Kerajaan Jepun dan Kerajaan Negara-Negara Asean termasuklah Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia.

Melalui program ini, para peserta dari negara Asean dan Jepun akan berlayar bersama dalam kapal Jepun iaitu Nippon Maru yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan besar, kolam renang, gymnasium, mini teater, kabin, dewan makan dan kawasan bersukan. Kapal Nippon Maru yang mempunyai 7 tingkat ini akan memulakan pelayaran dari Pelabuhan Yokohama, Jepun menelusuri negara-negara Asean terpilih seperti Vietnam, Indonesia, Brunei, Malaysia, Singapura dan Thailand. Ketika singgah di negara-negara terpilih termasuk Jepun mereka akan menjalani beberapa program rasmi seperti, homestay, lawatan ke institusi penting dan strategik dan interaksi dengan belia setempat. Sepanjang perjalanan merentas samudera, para peserta juga akan menjalankan pelbagai aktiviti dalam kapal bersama keseluruhan peserta yang berjumlah hampir 300 orang lebih.

Program ini bertujuan mengukuhkan jaringan dan solidariti belia antara Jepun dengan negara Asia Tenggara dan meningkatkan kerjasama serantau yang lebih gemilang di peringkat belia.

Saudari Husna merupakan salah seorang ahli ABIM dan GPTD yang sedang belajar di salah sebuah maktab perguruan di Sungai Petani. Seorang lagi ahli ABIM yang turut serta adalah saudara Azli bin Harun mewakili Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS). Beliau merupakan Setiausaha ABIM Daerah Rembau dan Pemangku Penolong Setiausaha Agung MBNNS.

Program ini juga pernah disertai oleh saudara Jufitri bin Joha, Exco ABIM Pusat pada tahun 2004.