Saturday, December 01, 2007

Catatan Ringkas Pelayaran STS Puteri Mahsuri

Selama 10 hari bersama lebih kurang 36 orang peserta di atas kapal “Puteri Mahsuri” berada di tengah lautan memberi seribu satu pengalaman yang berlainan daripada biasa program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang dinamakan “Malaysian Ship Tarining Sail (STS Puteri Mahsuri)”.

Program dimulakan dengan orientasi selama 3 hari bermula 10-12hb November 2007 yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Johor Bahru. Orientasi ini diadakan bagi memastikan setiap peserta lebih bersedia tidak kira dari segi spiritual atau fizikal sebelum menaiki kapal. Ini kerana program ini bukan program yang biasa kerana kita berhadapan dengan laut. Antara yang diterapkan sepanjang orentasi ialah semangat kerjasama dan setia kawan melalui beberapa modul yang bermanfaat. Peserta juga diajar cara keyakinan diri melalui pengucapan awam. Ini secara tidak langsung menjadikan setiap peserta lebih berani dalam menghadapi sesuatu situasi.

Para peserta berbincang menyiapkan logo kumpulan

Membuat pembentangan logo, misi dan visi kumpulan.

Pada 13hb November 2007 peserta bertolak ke Jeti Lumut, Perak bagi memulakan pelayaran. Lebih kurang pada jam 10 pagi peserta telah menaiki kapal Puteri Mahsuri. Selepas menaiki kapal peserta diperkenalkan dengan krew-krew kapal dari kapten sehinggalah jurulatih. Peserta telah di bahagikan kumpulan mengikut awasan masing-masing termasuk awasan hijau, merah dan biru. Setiap awasan juga diawasi oleh seorang jurulatih. Selepas itu peserta dibawa setiap jurulatih melawat seluruh isi dalam kapal yang diamakan “Ship Tour”. Banyak yang diperolehi setiap peserta kerana kapal ini bukanlah kapal yang biasa kerana ia ada sejarahnya sendiri. Nama asal kapal ini adalah “Karin Maru” yang dimiliki oleh Jepun suatu masa dahulu. Kelihatan juga di setiap dinding kapal tergantung potret-potret wajah Jepun yang berkaitan dengan kapal ini. Peserta juga dibawa melawati tempat memandu atau “Bridge” yang menjadi tonggak utama pengawalan kapal. Semua kawalan kapal dilakukan di Bridge. Antara tempat lain peserta lawati bilik enjin, tempat makan atau “Salloon”, dapur atau “Galley” dan lain-lain lagi. Segalanya lengkap di dalam kapal ini.

Peserta tiba di Jeti Lumut, Perak

Taklimat awal yang diberikan oleh Kapten dan Komander

"Ship Tour" bersama jurulatih Mick (bebaju kuning)

Lebih kurang jam 5 petang kapal mula berlayar menuju ke Langkawi. Bermulalah pelayaran dengan laut yang sedikit bergelora membuatkan sebahagian peserta mula mabuk. Lebih kurang setengah jam kemudian, peserta dikumpulkan dan diberi taklimat cara memanjat tiang layar. Setiap peserta diberi peralatan keselamatan seperti “Harness”. Perlatan ini perlu dipakai setiap kali memanjat atau memasang layar. Keselamatan diutamakan dalam kapal ini. Selepas itu peserta mula memanjat tiang layar yang ada sebanyak 3 tingkat tiang layar. Kelihatan sebahagian wajah peserta sedikit takut dan gayat. Mugkin ini kali pertama mencuba aktiviti seperti ini dan ia berlainan dari biasa kerana kita berada di lautan. Sebenarnya aktiviti memanjat tiang layar ini sedikit sebanyak membentuk keberanian dan keyakian dalam diri peserta.

Peserta mula memanjat tiang layar

Sebahagian peserta yang telah berjaya memanjat

Selepas selesai aktiviti ini, peserta dijamu dengan makan malam yang enak-enak. Bercerita tentang makanan, sepanjang program peserta dijamu dengan makanan yang agak mewah 6 kali sehari. Peserta juga dinasihatkan supaya makan banyak untuk mengelakkan mabuk laut. Apabila perut kosong lebih mudah untuk mendapat mabuk laut. Apabila muntah perut akan menjadi kosong. Jika tidak diisi dengan makanan keadaan akan menjadi lebih buruk.

Tibalah waktu menjamu selera

Disiplin amat penting sepanjang pelayaran ini terutamanya masa. Daripada bangun pagi sehinggalah melakukan setiap aktiviti masa amat dititik beratkan. Secara tidak langsung ini akan lebih mendisiplinkan para peserta dan sentiasa tepati masa. Peserta juga diberikan jadual bertugas menjadi pembantu tukang masak di Galley dan mengawasi kapal pada waktu malam. Setiap peserta diberikan tugas mengikut giliran membantu apa sahaja berkaitan dengan Galley. Peserta perlu menyediakan bahan masakan dan menghidangkan kepada peserta lain setiap kali makan. Peserta bukan sahaja menyediakan untuk peserta lain malahan menyediakan untuk makanan untuk kapten dan ketua jurutera kapal. Ini dapat membantu para peserta sedikit sebanyak mempelajari cara memasak. Peserta juga dibahgikan tugas menjaga sekitar kawasan kapal sepanjang malam dari jam 10 malam sehingga jam 4 pagi. Dalam tugas ini peserta berpeluang mengendalikan kapal selain mengawasi kapal.

Menjadi pembantu tukang masak

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dirangcangkan dalam pelayaran ini ialah memanjat tiang layar, memasang layar, aktiviti “Swing”, aktiviti “Absailing”, aktiviti terjun laut, treasure hunt, aktiviti “Emergency Steering”, aktivitiTake over the Ship” dan malam kebudayaan. Aktiviti Swing memerlukan keberanian dan keyakinan dan tinggi. Ini kerana peserta akan bergayut di satu tali yang diikat pada sebuah tiang layar. Sebelum itu, setiap peserta perlu memanjat lebih kurang 5 meter sebelum bergayut. Memang agak takut kerana peserta berada di permukaan air laut.

Melakukan aktiviti "Swing"

Menguji keberanian

Aktiviti Absailing ini mengajak peserta memanjat setingkat tiang layar dan akan turun menggunakan tali yang telah diikat kuat. Peserta juga diawasi oleh jurulatih memikirkan aspek-aspek keselamatan. Antara perkara yang perlu semasa melakukan aktiviti ini peserta diwajibkan memakai topi kaledar dan sarung tangan yang telah disediakan. Ini kerana peserta berhadapan dengan tempat tinggi dan sarung tangan digunakan untuk memegang tali untuk turun. Jika tidak menggunakan sarung tangan akan memnyebabkan tangan peserta lebih mudah luka atau melecur.

Peserta sedang melakukan Absailing

Aktiviti terjun laut pula membawa setiap peserta memberanikan diri terjun dari kapal setinggi lebih kurang 5 meter. Tetapi peserta bukan terjun dengan tangan kosong. Peserta perlu mengenakan jaket keselamatan yang telah diberikan kepada setiap peserta. Tetapi bukan semua yang mampu untuk melakukan aktiviti ini. Selepas terjun peserta dikehendaki berenang menuju ke bot untuk menuju ke Pulau Dayang Bunting. Di pulau ini sedikit aktiviti dilakukan serta memberi peserta melihat sendiri keindahan pulau ini yang mana di dalam terdapat sebuah tasik yang indah dan tenang. Peserta diberi masa selama lebih kurang 5 jam untuk menikmati keindahan pulau ini. Ternyata ramai pengujung yang bertandang ke pulau ini tidak kira dalam dan luar Negara. Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah berkayak, bot solar dan sebagainya. Pengunjung boleh berenang dengan percuma di kawasan tasik yang dibenarkan.

Tiba di Pulau Dayang Bunting

Berenang sekitar kawasan tasik

“Treasure Hunt” adalah aktiviti yang menguji para peserta kerjasama dalam kumpulan mendapatkan jawapan yang berkaitan dengan kapal. Semua soalan yang diberikan kepada peserta perlu dilengkapkan dengan masa yang telah diberikan. Masing-masing melihatkan wajah bekerjasama serta bertungkus lumus pusing satu kapal mendapatkan jawapan. Ini sekali gus dapat mengingatkan lagi tentang kapal dengan adanya aktiviti ini.

Aktiviti “Emergency Steering” ialah pengendalian steering kecemasan kapal apabila steering automatic menghadapi masalah. Peserta diberi peluang untuk mencuba sendiri mengendalikan steering kapal yang sangat besar, cara membaca kompas magnetik dan sebagainya. Inilah aktiviti yang dinantikan para peserta iaitu “Take Over the Ship”. Kapal ini akan diserahkan peserta dan setiap peserta memegang jawatan masing-masing yang telah dilantik darilah kapten sehinggalah krew dan anak kapal. Peserta juga dikehendaki merancang aktiviti sepanjang mengambil alih kapal. Ini membuatkan seolah-olah peserta benar-benar mengendalikan kapal tersebut.

Seorang peserta mencuba wengawal steering kecemasan

Malam terakhir sebelum peserta pulang, peserta dikehendaki membuat persembahan mengikut setiap awasan masing-masing. Tetapi peserta telah diberikan masa kurang daripada sehari untuk merancang dan membuat persediaan. Malam itu menyaksikan bakat-bakat peserta yang terpendam dapat dikeluarkan. Ada yang membuat dikir barat, berpuisi, bersyair dan ada yang membuat lakonan.

Dikir Barat

Puisi dan nyanyian

Menunjukkan bakat yang terpendam

Peserta juga diberikan satu hari kelepasan untuk membolehkan para peserta melakukan aktiviti di darat. Peserta telah dibenarkan untuk ke Langkawi untuk melakukan apa sahaja selagi mana tidak menyalahi undang-undang. Peluang ini tidak dilepaskan oleh para peserta. Ada yang menyewa kenderaan untuk melawat tempat-tempat bersejarah dan menarik. Ada juga yang mengambil kesempatan ini bertemu sahabat dan teman. Ada juga yang duduk sahaja di rumah kerana terlalu letih. Antara aktivit yang dilakukan di sini ialah mengunjungi Gunung Machincang, Galeria Perdana. Dan lain-lain lagi. Antara tempat yang menjadi tumpuan para peserta ialah ekan Kuah yang mana menempatkan barang-barang dalam dan luar Negara yang bebas cukai. Mulalah masing-masing berbelanja dengan banyak mungkin untuk keluarga dan sahabat. Tetapi barangan bebas cukai ini perlu dibeli mengikut had barang kawalan untuk mengelak cukai di kastam nanti.

Sebahagian peserta di Gunung Machicang

Di Galeria Perdana

Selepas 10 hari berada di atas kapal tibalah masa untuk pulang. Masing-masing menunjukkan wajah hiba dan sedih seperti tidak mahu pulang. Program diakhiri dengan bersalaman dan mengambil gambar beramai-ramai. Lebih kurang jam 10 pagi 23hb November 2007 peserta tiba di Jeti Lumut, Perak. Setelah lebih kurang sejam meninjau kawasan sekitar jeti semua peserta mengucapkan selamat tinggal dan pulang tempat masing-masing. Sesungguhnya program ini sangat bermanfaat dan mendidik para belia dari segi semangat, fizikal dan sebagainya. Program seperti ini perlu diteruskan untuk membantu para belia akan datang.

Pemberian cenderehati sebagai tanda kenangan

Sesi bergambar peserta dan krew kapal

Disediakan oleh: Abdul Hakim b Shahbuddin
Sumber Foto: Komeng, Pija, Tina, Ayu & Ustaz