Tuesday, February 19, 2008

Pengerusi GPTD di Sana Sini

Bermula sejak 7 Februari 2008 / 30 Muharram 1429 H saudara Jufitri Joha, Pengerusi GPTD, telah sibuk memenuhi pelbagai undangan ceramah iaitu yang pertamanya di Bekas Penjara Pudu. Kuliah Maghrib dan Subuh telah disampaikan di hadapan 162 pelajar IKBN Chembong, Pegoh, Pontian dan Alor Gajah. Mereka ini di kalangan pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan diberi peluang merasai kesengsaraan penjara. Program ini anjuran Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS) yang mana saudara Jufitri merupakan Setiausaha Agung MBNNS. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah bermalam dalam sel penjara, tazkirah, solat berjemaah, slot bersama bekas banduan tegar, demonstrasi hukuman sebat, ceramah erti kebebasan, tayangan video dan lain-lain. Kesan program ini amat baik dan mendapat respon positif dari peserta program yang rata-rata insaf dan sedar apabila melalui kehidupan di sebalik tirai besi bekas penjara.


Program ini mendapat kerjasama rapat dari pihak Jabatan Penjara Malaysia. Program ini amat berkesan di tambah pula dengan penghayatan rohani yang mantap mampu menjadi mekanisme antara yang terbaik menyedarkan para remaja dan belia di luar sana yang hanyut dengan pelbagai masalah sosial dan jenayah. Setakat ini bekas Penjara Pudu beroperasi sebagai Balai Polis Jalan Hang Tuah dan juga pusat latihan kehidupan dalam penjara untuk para belia.

Sementara itu juga saudara Jufitri telah membentangkan pengalaman dalam pergerakan belia dalam menangani pelbagai isu dan masalah sosial di Fakulti Ekologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 12 Februari. Turut hadir Dr. Haslinda Abdullah dan Dr.Sarjit Singh yang merupakan pensyarah di Fakulti tersebut. Sebagai langkah susulan, 7 orang pelajar UPM dari fakulti tersebut akan menziarahi GPTD dan ABIM untuk berkenalan dengan lebih dekat pada 21 Februari ini. Selain itu Dr. Sarjit Singh berminat untuk memanggil semula saudara Jufitri berkongsi pengalaman program belia dan isu masalah sosial bersama pelajar beliau.

Ini diteruskan dengan jemputan menjadi panelis Forum Aku, Dia dan Cinta anjuran Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Kolej Lagenda, Mantin. Panelis turut dibarisi oleh Ustaz Najib dari MMU dan Saudara Hilmi, Presiden PKPIM. Forum ini mendapat sambutan hangat memandangkan tajuknya amat rapat dengan jiwa remaja yang dikatakan amat sinonim dengan cinta. Saudara Jufitri bertindak sebagai panelis kedua telah membahaskan tentang hukum ”dating” dan langkah-langkah untuk mendapat cinta yang manis jika tersesat dengan cinta ala barat.