Monday, May 26, 2008

Tragedi Nakba Apa Kudrat Kita?



Oleh : Jufitri Joha - Pengerusi GPTD

Arus dan tarikan materialisme semasa menjadikan orang sekarang terlalu mementingkan diri sendiri dan hilangnya sikap kepedulian sosial. Sedangkan semangat kepedulian sosial sudah lama diperjuangkan oleh Islam terutamanya melibat nasib umat Islam seperti yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani bahawa Nabi sallallahualaihi wasallam bersabda : “ Sesiapa yang tidak mengambil berat nasib dan hal ehwal umat Islam, maka mereka bukanlah di kalangan umat Islam tersebut”.

Ungkapan Nabi sallallahualaihi wasallam ini jelas menuntut sikap kepedulian sosial yang tinggi terhadap apa yang berlaku di sekeliling halaman umat Islam. Sudah tentu tidak terlepas nasib umat Islam Palestin yang terjajah di tanahair sendiri.

15 Mei yang lepas genap 60 tahun, Palestin diduduki dan dijajah oleh Israel. Mengenang sejarah 15 Mei 1948 meninggal kesan luka mendalam terhadap hati nurani umat Islam Palestin. Pada tanggal tersebut berlakunya peristiwa Nakba iaitu peristiwa malapetaka di mana Israel melancarkan pembersihan etnik iaitu sejumlah 750 000 orang atau tiga perempat populasi daripada rakyat Palestin dihalau keluar dari kediaman mereka. Hari Nakba merupakan rentetan berdarah daripada peristiwa Deir Yassin di mana pasukan komando Israel yang diketuai Menachem Begin menyerang dan merampas kampung Deir Yassin yang dihuni oleh 750 orang rakyat Palestin pada 9 April 1948.

Terbaru seperti yang dilaporkan oleh harian Haaretz.com, Israel melalui dutanya ke PBB telah membantah penggunaan perkataan Nakba yang digunakan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon dalam kenyataan rasmi beliau baru-baru ini. Petikan dalam Haaretz.com seperti berikut;

“The Israeli mission to the United Nations is seeking clarifications after an official communique released by Secretary-General Ban Ki-Moon's bureau made specific reference to the word "Nakba," according to a report broadcast on Israel Radio early Friday morning. The report said the UN chief telephoned the Palestinian President Mahmoud Abbas to express his solidarity with the Palestinians on the day they mark the "Nakba," the Arabic word meaning "Catastrophe" that is used in reference to the founding of the state of Israel.
Danny Carmon, Israel's deputy ambassador to the UN, told Israel Radio that the term " 'Nakba' is a tool of Arab propaganda used to undermine the legitimacy of the establishment of the State of Israel, and it must not be part of the lexicon of the UN."
Ini menjelaskan sikap sebenar Israel yang menganggap segala kezaliman yang mereka lakukan ke atas Palestin adalah satu perjuangan murni yang tiada salahnya hatta dari aspek kemanusiaan.
Sedangkan ianya terang – terang melanggar hak asasi manusia dan yang menjadi perhatian utama kita adalah golongan yang lemah seperti kanak dan wanita turut mendapat tempias kerakusan Israel. Dalam muqaddimah buku Children Under Occupation karangan Ibrahim Abu Al-Hayja menjelaskan bahawa Israel tidak mengira siapa termasuk kanak-kanak akan diperanginya jika ia adalah bangsa yang dimusuhinya. Ini bermakna kanak-kanak Palestin juga tidak terlepas dari penderaan, penganiayaan, penahanan dan apa jua bentuk keganasan.
Paling menyedihkan bila kita mendapat berita Parlimen Australia melalui Perdana Menterinya Ruud Griffith membawa mosi atau usul ke dalam parlimen agar merayakan dan merakamkan penghargaan terhadap pencapaian negara Israel merayakan ulangtahun ke 60 penubuhan negara haram tersebut yang bagi umat Islam ini merupakan Nakba atau malapetaka besar atas dunia Islam.
Justeru apakah kudrat kita untuk sekurang-kurangnya menjadi sebahagian daripada role player bagi meringankan beban saudara seagama kita di Palestin? Di sinilah pentingnya untuk kita sama – sama menggabungkan diri dalam pertubuhan yang secara kolektif memperjuangkan isu ini.
ABIM sejak zaman penubuhannya amat konsisten dengan nasib umat Islam di Palestin begitu juga keprihatinan yang tinggi disuarakan oleh pimpinan ABIM Pusat bagi sama-sama menyinsing lengan bersama pertubuhan masyarakat madani lain (Ngo) menyemarakkan hari Nakba ini.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Kebangsaan Memperingati Nakba 60 Tahun dianggotai oleh ABIM, Citizen International , Teras , Al Quds Malaysia, JIM, PUM, ISMA, PKPIM dan Gamis menggesa pihak majlis keselamatan PBB mengadaptasikan resolusi di dalam Piagam, Bab 7 seperti berikut:

• Mendesak Israel supaya menarik balik keputusan Kabinet untuk mengisytiharkan Gaza sebagai kawasan hitam dan tidak campur tangan dalam pembekalan makanan, elektrik, air dan minyak kepada penduduk Gaza;
• Mendesak Israel untuk menarik balik sekatan ekonomi terhadap kawasan takluk Palestin, menamatkan pengepungan Gaza, dan juga melaksanakan segala yang dicadangkan mahkamah antarabangsa;
• Meminta Israel menghentikan semua pembinaan penempatan dan perkembangan aktiviti di kawasan takluk Palestin dengan serta-merta;
• Menyeru semua pihak untuk menghentikan serta-merta aktiviti ketenteraan dan semua kekejaman, keganasan, provokasi, penghasutan dan kemusnahan antara Israel dan Palestin. Ini juga membabitkan pengeboman, sekatan udara serta serangan peluru berpandu terhadap masyarakat setempat;
• Menyeru Israel supaya lebih prihatin sesuai dengan tanggungjawab mereka di bawah Persidangan Geneva berhubung dengan Perlindungan penduduk di dalam zon peperangan pada 12 Ogos 1949 di kawasan takluk bahagian timur Baitulmaqdis;
• Menyeru Israel mematuhi segala peruntukan undang-undang seperti yang digesa oleh mahkamah antarabangsa, dan
• Menyeru Israel untuk memastikan supaya segala organisasi bantuan perubatan dan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang sekatan kepada rakyat Palestin pada setiap masa. Bantuan kecemasan juga perlu dititik beratkan dengan membenarkan mangsa yang mengalami kecederaan serius segera dibawa keluar dari kawasan takluk untuk menerima rawatan.
Selain itu, juga ABIM bergerak aktif menggerakkan Rabithah Syabab Muassasah Al Quds untuk mewujudkan kesedaran berkenaan Hari Nakba seperti ceramah kesedaran, himpunan solidariti mahasiswa dan belia, penyampaian maklumat melalui khutbah Jumaat, bengkel melobi isu Palestin dan lain-lain.

LAWATAN PHUKET MOSQUE NETWORK



Baru-baru ini delegasi Phuket Mosque Network (PMN) dari Thailand telah mengadakan kunjung hormat ke Anjung Rahmat khususnya ABIM. Saudara Jufitri Joha Exco ABIM merangkap Pengerusi GPTD telah menyambut kehadiran mereka. Selain itu beliau bertindak sebagai pengerusi majlis bagi meraikan delegasi tersebut. Tujuan kunjungan PMN adalah untuk membina jaringan baru generasi muda antara 2 negara. Turut serta dalam delegasi adalah Dr. Sukri Lang Puteh, Dekan Universiti Islam Pattani.

Saudara Jufitri juga mengambil peluang menerangkan kepada delegasi bahawa pihak GPTD pernah menghantar satu pasukan ke sana untuk melaksanakan Kem Bahasa Melayu dan Terapi Trauma Tsunami bersama masyarakat Melayu di sana pada tahun 2005 yang diketuai oleh saudara Shakir Fahmi, pimpinan tertinggi GPTD.

Pemuda PMN berharap agar program GPTD di sana diteruskan agar hubungan belia antara dua buah negara diteruskan dan dibugarkan kembali.

Setakat ini GPTD telah melaksanakan beberapa program khidmat sosial dan kemasyarakatan di Thailand merangkumi Pattani, Narathiwat, Phuket, Panga dan lain-lain.

Selain Phuket, satu lagi tempat yang GPTD berhasrat menorakai adalah di Pulau Koh Samui iaitu di sebelah Pantai Timur Thailand yang mana di sana terdapat masyarakat Melayu yang menarik untuk dikaji dan dilaksanakan kerja-kerja khidmat sosial.

Friday, May 16, 2008

Hari Nakba - GPTD Palestin



Wisma PBB, Damansara – GPTD menyertai penghantaran petisyen membantah pendudukan dan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin sempena Hari Nakba (15 Mei) iaitu ulangtahun ke 60 Israel menduduki Palestin. Petisyen diserahkan kepada wakil PBB di Wisma PBB di Jalan Dungun, Damansara. Turut hadir wakil-wakil Ngo seperti ABIM, CI, JIM, PACE, ISMA, PKPIM, TERAS dan lain-lain.

Nakba bermakna penderitaan di mana pada 15 Mei, Israel telah menubuhkan negara mereka secara haram dengan menafikan hak dan kedaulatan Palestin.

Sebelum ini juga, peristiwa Deir Yassin, kampung pertama Palestin yang telah dicerobohi pada 9 April 1948 dan secara sistematik, tentera Israel telah membunuh sebahagian penduduk Palestin yang berada di dalamnya. Mereka ingin merampas Kampung Deir Yassin yang terletak di tanah tinggi iaitu di koridor laluan Tel Aviv ke Jerusalem untuk dijadikan sebahagian tanah jajahan Israel.

ABIM melalui GPTD telah mengetuai Rabithah Syabab, Muassasah AlQuds bagi merancang pelbagai aktiviti berkaitan dengan isu Palestin termasuk menghantar grup khidmat sosial untuk membantu belia Palestin di Kem Pelarian di Lubnan.

Justeru pihak GPTD berharap ada pihak di kalangan penggerak atau bukan penggerak untuk membantu grup GPTD Palestin merangka program-program dalam memperjuangkan isu Palestin. Sesiapa yang berminat untuk sertai GPTD Palestin sila emailkan ke jufitri1979@yahoo.com untuk menyertai grup ini.

Abul Hasan Ali An Nadwi : Suri Teladan Belia




Oleh : Jufitri bin Joha - Pengerusi GPTD

Pada pertemuan dengan grup MyGT GPTD yang lepas di Kolej Lagenda Mantin, Negeri Sembilan saya telah mengambil peluang memperkenalkan seorang tokoh ulama tersohor dari benua India.

Umum ahli GPTD mengetahui bahawa objektif pertama GPTD adalah “Mengkaji Tamadun Dunia”. Makna tamadun ini amat sinonim dengan “human society” atau masyarakat manusia. Sudah tentu antara komponen terpenting yang perlu dikaji oleh ahli GPTD ialah ulama. Ulama merupakan komponen terpenting dalam masyarakat yang menggerakkan kesedaran masyarakat dengan cahaya makrifat ilmu. Dengan sinaran ilmu inilah masyarakat terpandu ke arah membangunkan tamadun yang berpaksikan wahyu Ilahi yang natijahnya melahirkan “baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur” iaitu negara baik yang mendapat keampunan Tuhannya.

Peranan ulama ini juga diabadikan pada motto Universiti Islam Antarabangsa pertama di Cordoba Sepanyol iaitu:

“Learning of the wise,
Justice of the noble,
Prayer of the pious
And valor of the brave”

Motto ini menyifatkan ulama sebagai orang alim yang diharapkan doa mereka ini sebagai tiang seri utama untuk membentuk sebuah negara yang mantap. Bersesuaian dengan ayat Al-Quran yang menyatakan para ulama merupakan hamba Allah yang takut padaNya menjadikan peranan ulama yang signifikan dalam membangunkan negara. Insan istimewa seharusnya mendapat tempat dihati pengkaji tamadun seperti GPTD.

Justeru saya terpanggil untuk memperkenalkan barisan ulama yang berjasa dan kali ini nurani saya berbisik untuk memperkenalkan ulama yang meninggal pada 31 Disember 1999 yang lalu.

Beliau yang dimaksudkan ialah Sheikh Abul Hasan Ali An Nadwi. Beliau yang merupakan permata dunia Islam sudah tentu meninggalkan jasa yang cukup besar dalam dunia Islam. Buku beliau yang berjaya menggegarkan dunia Islam iaitu “Maza Khasiral 'Alam Binhitotil Muslimin” atau "Kerugian Dunia Karena Kemunduran Umat Islam” seharusnya menjadi bahan bacaan wajib kepada penggerak GPTD dan pendokong dakwah. Jika Melvyn Bragg dalam 12 Books That Changed The World menyenaraikan senarai buku pilihan hatinya maka saya menyenaraikan antara 12 buku pilihan saya yang berjaya merubah dunia antaranya yang tidak terlepas ialah buku Sheikh Abul Hasan ini.

Sudah tentu saya tidak mampu mengungkap untaian keseluruhan perjalanan hidup Sheikh Abul Hasan tetapi memadai dengan secebis kisah hidup beliau yang mampu saya coretkan untuk menggerakkan cetusan awal penggerak GPTD mengenali beliau sebagai satu tokoh atau ikon untuk para belia.

Dalam tulisan biografi Sheikh Abul Hasan, Doktor Muhammad Akram An Nadwi menceritakan rantaian nasab Sheikh Abul Hasan yang mulia yang sampai ke Saidina Hasan bin Ali. Ini bermakna Sheikh merupakan ahli keluarga Nabi yang mulia lagi disanjungi di sebelah bapa beliau. Beliau meninggal pada umur 86 tahun yang mana keseluruhan umur beliau dipenuhi dengan perjuangan ilmu dan jihad menyebarkan agama Allah. Beliau meninggal pada penghulu hari iaitu hari Jumaat. Pada hari kewafatan, beliau tutup pengakhiran yang baik. Pada pagi hening Jumaat, 22 Ramadhan 1420 H beliau sempat menyempurnakan wirid dan membaca 13 atau 14 kali surah Yasiin seperti amalan kebiasaan beliau. Satu kebiasaan beliau juga semenjak kecil beliau akan membaca surah Al-Kahfi sebelum Solat Jumaat termasuk pada hari kewafatan beliau. Beliau meminta mushaf untuk membaca Surah Al-Kahfi dan sementara menunggu mushaf beliau membaca Surah Yasiin namun belum sempat menghabiskan bacaan surah Yasiin beliau telah menghembuskan nafas untuk pergi mengadap Tuhan Rabbul Jalil.

Sheikh Abul Hasan menghasilkan kitab yang amat bermanfaat kepada dunia Islam. Antara kisah yang saya amat terkesan tentang beliau ialah seperti yang diceritakan oleh anak murid beliau iaitu Sheikh Ahmad Fahmi Zam-Zam. Beliau menceritkan bagaimana kezuhudan dan kewarakan Sheikh Abul Hasan di mana Sheikh Abul Hasan yang menjadi Rektor selama 42 tahun tidak pernah mengambil satu sen pun duit gaji beliau. Rumah Sheikh Abul Hasan juga lebih daif dari asrama pelajar beliau. Sheikh Ahmad Fahmi menyifatkan gurunya sebagai tokoh ulama yang berjaya membumikan pemikirannya. Ini bermakna pemikirannya berjaya direalisasikan dalam bentuk tindakan yang bermanfaat kepada umat.

Sesungguhnya saya tidak termampu untuk meneruskan kisah mutiara hidup beliau yang soleh yang mengingatkan kita kepada akhlak mulia nenda beliau iaitu Rasulullah Sallahualaihi wasallam. Cukup sekadar saya mencetuskan rasa ingin tahu ahli GPTD kepada peribadi agung ini dan terpulang kepada ahli sekalian untuk terus menggali khazanah perjalanan hidup ulama ini. Sehingga bertemu lagi.

Thursday, May 15, 2008

Salam dari Palestin


Masa tak mengizinkan untuk saya maklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. Alhamdulillah pelbagai rintangan yang dihadapi dapat kami tempuhi dengan baik. Doa daripada kalian yang banyak membantu.

Antara rintangan yang ditempuhi ialah 3 pos polis/tentera menahan perjalanan kami tetapi kami dapat melepasinya dengan adanya orang perhubungan yang petah bicara.

Saya juga sempat menemubual beberapa penduduk Palestin. Antaranya mempunyai adik yang anaknya syahid di Ramallah ditembak askar Israel. Juga berlaku perkara yang menakjubkan. Ini membuatkan saya merasakan kehebatan Allah Yang Maha Kuasa.

Rasa marah timbul apabila saya berada di sempadan Israel. Bendera Israel berkibar megah di sempadan sungai Jordan. Bersama saya seorang pakar psikologi yang berasal daripada Los Angeles. Dia turut berang dengan Israel. Katanya (merujuk kepada Taurat/Torah) - punishment should not be greater than crime. Namun, terdapat juga masyarakat berhampiran yang benci kepada Palestin walaupun mereka beragama Islam.

InsyaAllah setibanya saya di Malaysia pada 16.5.2008, saya akan berusaha menyediakan laporan/rencana mengenai pengalaman berada di sini untuk dikongsi bersama.


Muhammad Suhail Ahmad
11.55pm
Amman

Wednesday, May 14, 2008

Kunjungan Hormat ke Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam



BERAKAS (Brunei), 12 Mei – Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Mohiddin, Setiausaha Tetap (setaraf dengan Ketua Pengarah di Malaysia) Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, telah menerima kunjungan hormat Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD).

Rombongan yang diketuai oleh Pengasas GPTD, Tn. Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman turut disertai oleh Sdr. Jufitri Joha (Pengerusi), Tn. Hj. Noryzal Zainal Abidin (Timb. Pengerusi II), Sdr. Najmuddin Mohd Nawi (Ketua Penyelaras), dan Tn. Hj. Nor Helmee Zainal Abidin (Pengarah, Unit Media dan Dokumentasi).

Hadir sama ialah Pengiran Haji Mohd. Tahir bin Pengiran Haji Yusof (Pengarah Pentadbiran), Awang Haji Ismail bin Haji Abdul Manap (Pengarah Hal Ehwal Masjid), dan Awang Hj. Mohammad bin Garing (Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da’wah Islamiah) - dari kementerian yang sama.

GPTD sebagai sebuah badan bukan kerajaan (BBK), membuka ruang kepada belia Brunei untuk turut serta dalam aktiviti khidmat sosial antarabangsa anjuran GPTD. Cadangan ini diusulkan sendiri oleh YM Dato Paduka dalam pertemuan tersebut.

Tn. Hj. Ahmad Azam menyatakan harapan beliau agar pertemuan ini akan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dunia.

Monday, May 12, 2008

Kajian Ilmu Di Pasai dan Banda Aceh

Alhamdulillah, pada 25 April-2 Mei 2008 yang lalu grup X-Gem (Ekspedisi Generasi Muda) telah selamat menjalankan projek menjejak perjalanan Ibn-Batuttah. Berkat hasil usaha daripada semua pihak, projek ini telah berjalan dengan lancarnya. Buat pengetahuan semua, Pasai adalah negara pertama yang kami pilih untuk membuat kajian mengenai perjalanan Ibn-Batuttah. InsyaAllah, jika diizinkan Allah negara-negara yang seterusnya akan kami jejaki.

Misi utama projek ini adalah menjejak Ibn-Batuttah di Pasai, meninjau latar sejarah Kerajaan Aceh, dan mengkaji pemikiran ulama dan tokoh.



Alhamdulillah, semasa pertemuan kami dengan Ketua Dinas Budaya Parwisata Pemuda dan Olahraga (DISBUDPARPORA),Kabupaten Aceh Utara, kami telah menjumpai sebuah buku yang ada mencatatkan mengenai perjalanan Ibn-Batuttah di Pasai. Tajuk buku tersebut adalah 'Kronika Pasai' yang ditulis oleh Prof. Dr. Teuku Ibrahim Alfian, M.A. Beliau merupakan Guru Besar Fakultas Ilmu Budaya Universitas Gadjah Mada.

Antara tempat yang kami tuju sepanjang 8 hari kami disana adalah Makam Sultan Malikussaleh dan Sultan Malikul Dhahir, Makam Ratu Nahrisyah, Tugu Pahlawan Cot Plieng, Muzium Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam, kawasan bencana Tsunami, Rumah Asuh The Habibie Center, gedung-gedung ilmu dan banyak lagi tempat-tempat yang bersejarah di Pasai dan Banda Aceh.

Buat makluman semua, projek ini bukan yang pertama dan terakhir. InsyaAllah, jika diizinkan projek susulan akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Laporan Oleh :
Syafa

Friday, May 02, 2008

SELECTION CAMP FOR THE INTERNATIONAL YOUTH EXCHANGE PROGRAM

Alhamdulillah, saya telah tamat menjalani kem pemilihan untuk International Youth Exchange Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Kem yang dijalankan pada 18 hingga 20 April tersebut telah diadakan di Akademi Pembangunan Belia Malaysia, Port Dickson. Seramai lebih kurang 80 orang peserta yang hadir daripada 250 calon yang terpilih. Mereka ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, dan organisasi.

Kem tersebut menjadi tempat untuk menonjolkan diri agar berjaya terpilih sebagai Duta Kecil Malaysia ke luar negara. Saya melihat pelbagai gelagat peserta dengan kelebihan masing-masing. Daripada satu sudut, ia sememangnya satu persaingan yang sihat di antara peserta. Namun, di sudut yang lain pula, kita tidak mengetahui niat disebalik semua yang dilakukan. Pada program tersebut, Encik Mod Nazri, alumni KABESA (Kapal Belia Asia), telah menceritakan pengalaman sebelum ini dimana peserta akan menunjukkan kebolehan dan komitmen yang luar biasa semasa kem pemilihan, tetapi yang sebaliknya setelah terpilih mewakili negara.

Di antara aktiviti yang dijalankan sepanjang kem tersebut adalah 'group binding', perbincangan berkumpulan, sesi debat, persembahan kebudayaan, 'public speaking' dan 'amazing race'. Tujuan utama aktiviti-aktiviti tersebut adalah untuk melihat kerjasama di antara kumpulan, dan kebolehan dan kefasihan bertutur dalam bahasa Inggeris. Alhamdulillah, saya telah berjaya memberikan kerjasama yang terbaik sepanjang program.

Sepanjang program tersebut, pihak penganjur menitikberatkan kepada para peserta tentang peranan yang akan dimainkan oleh mereka yang akan terpilih ke luar negara iaitu sebagai rakyat Malaysia dan memperkenalkan kebudayaan Malaysia di luar negara. Akan tetapi, saya sendiri merasakan bahawa, jika saya terpilih, saya bukan sahaja memegang peranan sebagai rakyat Malaysia bahkan juga sebagai seorang Muslim. Ini kerana, di sepanjang program, rakan-rakan berbangsa india dan cina sentiasa menanyakan mengenai agama Islam samada tentang perkara asas fardhu ain mahupun isu-isu yang besar.



Pihak GPTD telah memberikan saya tanggungjawab yang besar sewaktu menyerahkan borang penyertaan kepada saya. InsyaAllah, jika saya terpilih untuk menyertai program pertukaran ini, saya akan melaksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin.

Ain NajwaBadrul Amin
Biro Latihan & Sukarelawan

Thursday, May 01, 2008

Misi Pencarian Sufiah (Bahagian 1)

Alhamdulillah, saya Mohd Trimizi b Zainal, Ustaz Hanafi Malek (Pengarah Rumah Sahabat Insan dan Iman Malaysia) dan Norazian Abdul Rahman (S/U Profesional Islamic Support and Nature Group) iaitu adik kepada En. Hamidi Abdul Rahman (Presiden Persatuan Masyarakat Melayu UK) selamat tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London pada 22 April jam 4.30 petang (waktu London).

Kami amat berharap kepada Allah S.W.T semoga misi mencari Sufiah dan merawat dirinya supaya kembali ke pangkal jalan, akan dipermudahkan dan diberi pertolongan oleh-Nya.

Doa sahabat-sahabat juga kami harapkan mengiringi perjalanan kami sepanjang sebulan di sini. Segala pandangan dan nasihat sahabat-sahabat amat diperlukan.

Apa-apa yang kami lakukan bukan sekadar menumpukan kepada Sufiah, tetapi juga insan-insan yang senasib dengannya, walaupun bukan bergelar pelajar genius.

Ketahuilah sahabat-sahabat, musuh-musuh Islam sentiasa mahu menghancurkan aset-aset yang mampu membangun dan menguntungkan Islam. Maka kita seharusnya bangkit dan bangun tanpa menyalahkan sesiapa melainkan diri kita dalam apa jua kemungkaran yang berlaku.

Walupun kita tidak mampu melakukannya, cukuplah doa yang kita pohonkan sebagai senjata yang agung untuk mendoakan pejuang-pejuang Islam yang kita cintai.

"Serulah (manusia) kepada jalanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk". (Surah Al-Nahl ayat 125)

Semoga bertemu lagi...
Wassalam.

Mohd Trimizi b Zainal
Koresponden Seketeriat Antarabangsa GPTD