Monday, May 26, 2008

Tragedi Nakba Apa Kudrat Kita?



Oleh : Jufitri Joha - Pengerusi GPTD

Arus dan tarikan materialisme semasa menjadikan orang sekarang terlalu mementingkan diri sendiri dan hilangnya sikap kepedulian sosial. Sedangkan semangat kepedulian sosial sudah lama diperjuangkan oleh Islam terutamanya melibat nasib umat Islam seperti yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani bahawa Nabi sallallahualaihi wasallam bersabda : “ Sesiapa yang tidak mengambil berat nasib dan hal ehwal umat Islam, maka mereka bukanlah di kalangan umat Islam tersebut”.

Ungkapan Nabi sallallahualaihi wasallam ini jelas menuntut sikap kepedulian sosial yang tinggi terhadap apa yang berlaku di sekeliling halaman umat Islam. Sudah tentu tidak terlepas nasib umat Islam Palestin yang terjajah di tanahair sendiri.

15 Mei yang lepas genap 60 tahun, Palestin diduduki dan dijajah oleh Israel. Mengenang sejarah 15 Mei 1948 meninggal kesan luka mendalam terhadap hati nurani umat Islam Palestin. Pada tanggal tersebut berlakunya peristiwa Nakba iaitu peristiwa malapetaka di mana Israel melancarkan pembersihan etnik iaitu sejumlah 750 000 orang atau tiga perempat populasi daripada rakyat Palestin dihalau keluar dari kediaman mereka. Hari Nakba merupakan rentetan berdarah daripada peristiwa Deir Yassin di mana pasukan komando Israel yang diketuai Menachem Begin menyerang dan merampas kampung Deir Yassin yang dihuni oleh 750 orang rakyat Palestin pada 9 April 1948.

Terbaru seperti yang dilaporkan oleh harian Haaretz.com, Israel melalui dutanya ke PBB telah membantah penggunaan perkataan Nakba yang digunakan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon dalam kenyataan rasmi beliau baru-baru ini. Petikan dalam Haaretz.com seperti berikut;

“The Israeli mission to the United Nations is seeking clarifications after an official communique released by Secretary-General Ban Ki-Moon's bureau made specific reference to the word "Nakba," according to a report broadcast on Israel Radio early Friday morning. The report said the UN chief telephoned the Palestinian President Mahmoud Abbas to express his solidarity with the Palestinians on the day they mark the "Nakba," the Arabic word meaning "Catastrophe" that is used in reference to the founding of the state of Israel.
Danny Carmon, Israel's deputy ambassador to the UN, told Israel Radio that the term " 'Nakba' is a tool of Arab propaganda used to undermine the legitimacy of the establishment of the State of Israel, and it must not be part of the lexicon of the UN."
Ini menjelaskan sikap sebenar Israel yang menganggap segala kezaliman yang mereka lakukan ke atas Palestin adalah satu perjuangan murni yang tiada salahnya hatta dari aspek kemanusiaan.
Sedangkan ianya terang – terang melanggar hak asasi manusia dan yang menjadi perhatian utama kita adalah golongan yang lemah seperti kanak dan wanita turut mendapat tempias kerakusan Israel. Dalam muqaddimah buku Children Under Occupation karangan Ibrahim Abu Al-Hayja menjelaskan bahawa Israel tidak mengira siapa termasuk kanak-kanak akan diperanginya jika ia adalah bangsa yang dimusuhinya. Ini bermakna kanak-kanak Palestin juga tidak terlepas dari penderaan, penganiayaan, penahanan dan apa jua bentuk keganasan.
Paling menyedihkan bila kita mendapat berita Parlimen Australia melalui Perdana Menterinya Ruud Griffith membawa mosi atau usul ke dalam parlimen agar merayakan dan merakamkan penghargaan terhadap pencapaian negara Israel merayakan ulangtahun ke 60 penubuhan negara haram tersebut yang bagi umat Islam ini merupakan Nakba atau malapetaka besar atas dunia Islam.
Justeru apakah kudrat kita untuk sekurang-kurangnya menjadi sebahagian daripada role player bagi meringankan beban saudara seagama kita di Palestin? Di sinilah pentingnya untuk kita sama – sama menggabungkan diri dalam pertubuhan yang secara kolektif memperjuangkan isu ini.
ABIM sejak zaman penubuhannya amat konsisten dengan nasib umat Islam di Palestin begitu juga keprihatinan yang tinggi disuarakan oleh pimpinan ABIM Pusat bagi sama-sama menyinsing lengan bersama pertubuhan masyarakat madani lain (Ngo) menyemarakkan hari Nakba ini.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Kebangsaan Memperingati Nakba 60 Tahun dianggotai oleh ABIM, Citizen International , Teras , Al Quds Malaysia, JIM, PUM, ISMA, PKPIM dan Gamis menggesa pihak majlis keselamatan PBB mengadaptasikan resolusi di dalam Piagam, Bab 7 seperti berikut:

• Mendesak Israel supaya menarik balik keputusan Kabinet untuk mengisytiharkan Gaza sebagai kawasan hitam dan tidak campur tangan dalam pembekalan makanan, elektrik, air dan minyak kepada penduduk Gaza;
• Mendesak Israel untuk menarik balik sekatan ekonomi terhadap kawasan takluk Palestin, menamatkan pengepungan Gaza, dan juga melaksanakan segala yang dicadangkan mahkamah antarabangsa;
• Meminta Israel menghentikan semua pembinaan penempatan dan perkembangan aktiviti di kawasan takluk Palestin dengan serta-merta;
• Menyeru semua pihak untuk menghentikan serta-merta aktiviti ketenteraan dan semua kekejaman, keganasan, provokasi, penghasutan dan kemusnahan antara Israel dan Palestin. Ini juga membabitkan pengeboman, sekatan udara serta serangan peluru berpandu terhadap masyarakat setempat;
• Menyeru Israel supaya lebih prihatin sesuai dengan tanggungjawab mereka di bawah Persidangan Geneva berhubung dengan Perlindungan penduduk di dalam zon peperangan pada 12 Ogos 1949 di kawasan takluk bahagian timur Baitulmaqdis;
• Menyeru Israel mematuhi segala peruntukan undang-undang seperti yang digesa oleh mahkamah antarabangsa, dan
• Menyeru Israel untuk memastikan supaya segala organisasi bantuan perubatan dan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang sekatan kepada rakyat Palestin pada setiap masa. Bantuan kecemasan juga perlu dititik beratkan dengan membenarkan mangsa yang mengalami kecederaan serius segera dibawa keluar dari kawasan takluk untuk menerima rawatan.
Selain itu, juga ABIM bergerak aktif menggerakkan Rabithah Syabab Muassasah Al Quds untuk mewujudkan kesedaran berkenaan Hari Nakba seperti ceramah kesedaran, himpunan solidariti mahasiswa dan belia, penyampaian maklumat melalui khutbah Jumaat, bengkel melobi isu Palestin dan lain-lain.