Friday, July 23, 2010

GPTD mendapat kunjungan Persatuan Muslim Perancis


Kuala Lumpur, 8 Julai 2010 - Satu pertemuan telah diatur dengan En Abderrahmane Bouaffad dari Persatuan Muslim Perancis (CMF) bersama Setiausaha Agung ABIM dan Presiden GPTD bertempat di Hotel Ancasa, Puduraya.

Hubungan dengan CMF telah diwujudkan oleh Sdr Jufitri Joha, Pengerusi GPTD, sewaktu beliau berkunjung ke Perancis baru-baru ini. ABIM dan GPTD adalah NGO Asia yang pertama mendapat perhatian CMF untuk kerjasama dakwah.

En Abderrahmane Bouaffad adalah Presiden CMF untuk selatan Perancis. Beliau aktif berdakwah sejak berusia 21 tahun. Dalam usia begini beliau sudah berjaya mendirikan masjid atas inisiatif sendiri sehingga beliau ditangkap polis.

Tangkapan dibuat kerana polis hairan beliau yang mampu menggerakkan masyarakat secara sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak luar. Semangat yang dimiliki beliau membuatkan pihak polis berjaga-jaga dengan pergerakan CMF.

Beliau yang dilahirkan di Algeria turut mempunyai hubungan baik dengan komuniti Muslim terpencil di Afrika seperti di Burkina Faso, Mali, Senegal dan Mauritania. Beliau mencadangkan relawan GPTD untuk menziarahi Muslim di sana bagi tujuan pemantapan jatidiri pendakwah.

Semangat yang menyemarak dalam diri beliau sebenarnya disebabkan kunjungan beliau ke negeri-negeri Afrika tersebut. Ini kerana kebanyakan Muslim di sana tiada jaminan makanan yang cukup dan kehidupan serba dhaif, namun semangat memperjuangkan Islam lebih hebat dan sungguh-sungguh berbanding mereka di Perancis yang lebih senang dan mewah.

Hubungan rapat beliau dengan ulama tersohor, Sheikh Tariq Ramadhan juga membuatkan beliau lebih komited dalam menggerakkan dakwah di Perancis yang sering mendapat tekanan kerajaan secara tidak langsung.

Beliau atas nama CMF mempelawa GPTD untuk membina kerjasama aktiviti pada masa akan datang dalam apa jua bentuk yang memberi manfaat buat Muslim di Perancis dan Afrika.